'England akan tewaskan Colombia...'
LONDON: Bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson meramalkan skuad kendalian Gareth Southgate akan menewaskan Colombia pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia, namun menyatakan negaranya Sweden akan menjadi lawan yang liat untuk ditemui Three Lions pada suku tamat.
Eriksson yang mengemudi England sampai ke suku final Piala Dunia 2002 dan 2006 berkata, dia amat kagum dengan apa yang dilakukan Southgate bersama pasukan mudanya di Russia.
England akan bertemu Colombia di Moscow awal pagi Rabu ini selepas menamatkan saingan kumpulan di kawasan kedua di belakang Belgium, sementara Sweden akan berdepan Switzerland pada hari sama.
Eriksson percaya Sweden, yang mengungguli Kumpulan F selepas menewaskan Mexico pada aksi terakhir kumpulan, tidak bermain bola sepak yang bagus tetapi sukar untuk dibocori.
“Apabila anda beraksi pada pusingan 16 terakhir, ia sentiasa menjadi sukar,” kata Eriksson.
“Saya fikir England akan mengalahkan Colombia, kemudian saya berharap mereka akan bertemu Sweden.
“Sweden tidak menyajikan bola sepak yang anggun tapi sukar untuk menjaringkan gol menentang mereka,” kata Eriksson yang turut berasakan sukar buat pasukan lawan merisik kekalahan 0-1 England kepada Belgium kerana pengurus kedua-dua pasukan melaksanakan rombakan besar.
“Ia pasukan kedua England dan juga pasukan kedua Belgium. Ia berbeza apabila anda menukar lima sampai enam pemain dalam satu-satu perlawanan.
“Saya fikir kedua-dua pengurus menjalankan tugas dengan baik. Apabila anda mempunyai peluang untuk merehatkan pemain dalam kejohanan panjang mirip ini anda perlu melakukannya.”
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 04:26
Tidak ada komentar:
Posting Komentar